Misa Frozen makin berkembang

SEREMBAN: Bermula dengan hanya untuk membekalkan barangan keperluan untuk peniaga burger, kini Misa Frozen menjadi antara penyedia utama kepada pelbagai jenis makanan sejuk beku di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Abumie Holdings Sdn. Bhd., Mohd. Shuhaimi Abu berkata, perniagaan yang bermula pada 1 Februari 2019 itu tercetus selepas beliau sukar untuk mendapatkan produk makanan seperti sosej dan nuget untuk dinikmati sewaktu minum petang.

“Puncanya apabila anak-anak nak makan nuget dan sosej pada waktu petang, saya terpaksa pergi ke pasar raya besar untuk mendapatkannya. Saya perlu parkir kereta jauh, berjalan, saya rasa penat.”

“Kemudian, saya lihat di kawasan Seremban 2 di sini tiada kedai begini, tiada orang Me­layu yang menjual. Bagi saya ini peluang yang menarik lalu saya buat keputusan untuk buka kedai menjual barangan sejuk beku, jadi di situ bermulanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kedai Misa Frozen di Pusat Dagangan Seremban 2, dekat sini baru-baru ini.

Tambahnya, apabila perniagaannya mula mendapat sambutan daripada peniaga-peniaga burger, terdapat pula permintaan daripada restoran-restoran untuk membekalkan pula produk sejuk beku seperti daging lembu, kambing dan ayam.

“Mula-mula Misa Frozen kami buka untuk peniaga-peniaga burger mendapatkan barangan keperluan mereka seperti daging burger, sayur, sos, mayonis malah gerai untuk mereka berniaga juga kami ada jual. Kira-kira 99 peratus barangan untuk mereka kami ada jual, tak perlu lagi merata-rata pergi ke tempat lain.

“Bila kami jual untuk peniaga burger, ada permintaan pula dari restoran-restoran yang minta kami bekalkan daging, kam­bing dan ayam. Saya ambil dari pengimport daging halal dan kemudian kami bungkus semula di bawah jenama Misa Frozen dan dari situlah kami mendapati terdapat keperluan untuk kami dapatkan sijil halal,” katanya lagi.

Menurut Mohd. Shuhaimi, pihaknya telah memperoleh sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak Mac lalu menerusi 23 jenis produk yang dikeluarkan.

“Kami memperoleh daging dari India, Australia dan New Zealand dan kemudian kami bungkus semula dengan jenama Misa Frozen, ada 23 produk ke­semuanya. Proses pembungkusan semula itu yang kami dapat sijil pengesahan halal tersebut.

Berkongsi pengalaman, katanya, selepas produk-produk tersebut mempunyai sijil halal, beliau mendapati banyak pe­langgan bukan Islam yang mula mendapatkan barangan tersebut daripada kedainya.

“Ada pelanggan dari Melaka yang setiap hari Isnin atau Selasa akan datang ke kedai ini untuk pujuk saya buka satu cawa­ngan Misa Frozen di Melaka, saya tanya kenapa, jawabnya kerana saya ada sijil halal, mereka nampaknya begitu menghargai sijil halal ini,” katanya.

Menurut Mohd. Shuhaimi selepas hampir dua tahun memulakan perniagaan tersebut, ia semakin berkembang dan mendapat permintaan sehinggakan kini Misa Frozen mempunyai sebuah premis pemprosesan da­ging sejuk beku selain mempu­nyai kira-kira 13 orang pekerja.

Sumber: UTUSAN

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
2 November 2020, 10:53 am

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are makes.

Get RM5 off for your first order | Minimum order amount RM50 | FREE delivery for order RM200 and above.
preloader