Misa Frozen hantar rumah

SYARIKAT pemborong, pembekal dan peruncit produk sejuk beku Bumiputera jenama Misa Frozen, Abumie Holdings Sdn Bhd (Abumie Holdings) menyasarkan sasaran jualan produk sejuk beku RM1 juta sebulan atau RM12 juta setahun menjelang 2022.

Pengarah Urusannya, Mohd Shuhaimi Abu berkata, pihaknya yakin sasaran itu boleh dicapai dengan pelbagai strategi perniagaan komprehensif termasuk menerusi sistem penghantaran produk ke pintu rumah pengguna.

Katanya, strategi pemasaran itu yang dipraktikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu ternyata berkesan.

Kami menawarkan perkhidmatan penghantaran produk sejuk beku sehingga pintu rumah atau premis usahawan bagi memudahkan mereka mendapatkan bekalan produk.

“Ini membolehkan pelanggan terutama usahawan kecil atau pengguna biasa boleh menumpukan perhatian kepada urusan lain tanpa perlu datang ke kedai,” katanya selepas majlis perasmian premis Misa Frozen di Seremban 2 di sini.

Majlis perasmian disempurnakan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Zaidi Ramli dan Pengerusi Abumie Holdings Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaimi berkata, pihaknya melabur RM500,000 secara berfasa bagi melengkapkan operasi Misa Frozen yang bermula awal tahun lalu.

Menurutnya, selain produk sejuk beku, Misa Frozen yang mendapat kerjasama dan bimbingan Mara Negeri Sembilan turut menjual barangan keperluan pengguna yang lain.

“Ketika ini ada 23 produk atas nama Misa Frozen membabitkan daging kambing dan ayam sejuk beku.

“Daging kambing diimport dari luar negara, tetapi dilakukan proses pembungkusan semula di sini, mengikut amalan yang ditetapkan Islam iaitu dari aspek kebersihan dan pematuhan syariah serta mendapat pengiktirafan dan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Katanya, pihaknya bersyukur kerana prestasi perniagaan tahun ini memberangsangkan apabila nilai jualan mencecah RM4 juta walaupun saat sukar kerana PKP dan Covid-19.

“Kami merancang membuka cawangan di tempat lain di Negeri Sembilan, tetapi bukan dalam masa terdekat kerana mahu memperkukuhkan dulu operasi di kawasan Seremban,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Oleh Mohd Amin Jalil
bisnes@hmetro.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are makes.

Get RM5 off for your first order | Minimum order amount RM50 | FREE delivery for order RM200 and above.
preloader